Oleh : Prof Madya Dr Sakthiswary A/P Rajalingham
Pakar Perunding Rheumatologi
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia
Penyakit Rheumatoid Arthritis (RA) merupakan penyakit radang sendi yang dapat menyerang sesiapa sahaja tidak kira muda ataupun tua. Secara amnya, pesakit RA mengalami nyeri dan kaku pada sendi terutamanya pada sebelah pagi dan gerakan sendi terbatas. Gejala penyakit –penyakit yang dinamakan di atas boleh berlaku secara spontan dan tiba-tiba. RA berpunca daripada radang membran synovial yang menyelaputi sendi. Keadaan ini lebih kerap berlaku di kalangan wanita antara 40-60 tahun. Pesakit RA kerap mengalami bengkak pada sendi jari-jari tangan dan kaki.
Terdapat ujian-ujian darah khas (rheumatoid factor, anti citrulinated cyclic peptide [CCP]) yang dapat membantu mendiagnosa penyakit ini dengan mudah. Ujian darah yang positif meningkatkan kebarangkalian mengidap penyakit RA. Pesakit yang mempunyai antibodi (berkeputusan positif) untuk Rheumatoid Factor atau/dan AntiCCP selalunya mempunyai penyakit yang lebih agresif berbanding dengan pesakit-pesakit berkeputusan negatif untuk ujian-ujian tersebut.
Pesakit yang mengidap penyakit RA perlu menerima rawatan daripada pakar rheumatologi yang bertauliah tanpa melengahkan masa. Terdapat lebih kurang 70 orang pakar rheumatologi di Malaysia. Penyakit RA secara amnya dirawat dengan ubat DMARD (disease modifying anti-rheumatic drug), steroid dan NSAID (non-steroidal anti-inflammatory drugs). Ubat-ubat DMARD lama adalah methotrexate, sulfasalazine, hydroxychloroquine dan leflunomide. Ubat steroid dan NSAID tidak elok digunakan untuk jangka masa yang panjang disebabkan mempunyai banyak kesan sampingan. Steroid mengakibatkan kencing manis, osteoporosis dan darah tinggi. NSAID boleh merosakkan buah pinggang dan menyebabkan radang perut.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa ubat termaju dan amat berkesan dalam merawat penyakit sendi. Ubat-ubat ini digelar “advanced therapies”. “Advanced therapies” merujuk kepada ubat biologik (dalam bentuk suntikan) dan ubat penghalang janus kinase. Ubat-ubat baru ini walaupun mahal dapat mengawal radang sendi dengan efektif dan menghalang kerosakan dan kacacatan sendi.
Ubat biologik terbahagi kepada penghalang factor tumor nekrosis, penghalang interleukin 6 dan CD20. Ubat biologik diberi sebagai suntikan secara subcutaneous (bawah kulit) atau secara infusi/intravena. Contoh ubat biologik di Malaysia adalah infliximab, etanercept, adalimumab, golimumab dan tocilizumab. Penghalang janus kinase pula adalah dalam bentuk pil.
Kini, terdapat banyak pilihan ubat ‘advanced therapies’ untuk memenuhi keperluan dan kepuasan pesakit yang berbeza antara satu sama lain. Penyakit RA lebih mudah dirawat pada peringkat awal. Pesakit RA yang tidak menerima rawatan yang optimum berisiko mengalami komplikasi kerosakan sendi yang serius yang boleh mengakibatkan ketidakupayaan fizikal sehingga memerlukan kerusi roda untuk pergerakan. Penyakit RA dapat menjejaskan kualiti kehidupan dan keupayaan bekerja.
This article was first published in www.majalahsains.com on 21 February 2019.